INSPIRASI: BERJALAN KAKI DARI BOSNIA KE MEKAH

Friday, 26 October 2012


 

Senad Hadzic

Kesempitan wang bukan halangan kepada seorang lelaki Bosnia untuk menunaikan ibadat haji. Demi menunaikan rukun Islam kelima tersebut, Senad Hadzic, 47, sanggup berjalan kaki sejauh 5,900 kilometer dari kampung halamannya, Banovici, sebuah kawasan di bahagian utara Bosnia Herzegovina dengan berbekalkan 200 euro ke Arab Saudi.

Perjalanannya bermula sejak Disember tahun lalu dengan merentasi enam buah negara termasuk Turki, Jordan dan Syria.

Menurut Senad, masjid, sekolah serta rumah-rumah penduduk kota yang disinggahinya menjadi tempat penginapannya di sepanjang perjalanan.

“Orang yang saya temui semuanya baik-baik belaka, mereka menawarkan tempat tinggal kepada saya.

“Ada yang bertanya, adakah kamu tidak takut ketika melalui kawasan hutan? Saya memberitahu mereka, kenapa saya harus takut? Allah sentiasa bersama saya,” katanya.

Al-Quran yang dibawa bersama di dalam beg galasnya, menjadi pelindung di sepanjang perjalanan. Senad turut membawa peta dan bendera enam buah negara yang dilewatinya.

Senad ketika melalui satu kota dalam perjalanannya ke Mekah

“Ada seorang tua bijaksana Turki yang apabila mengetahui saya datang dari Bosnia ke Istanbul dengan berkalan kaki, dia ingin memberikan saya wang supaya saya dapat menaiki kapal terbang ke Mekah. Namun saya menolaknya,” katanya yang begitu menghargai kebaikan orang-orang asing yang ditemuinya sepanjang perjalanan.

Semasa di Serbia, ujarnya, ada seorang profesor yang mempelawa untuk menginap di rumahnya. Profesor beragama Kristian itu memberitahu bahawa Senad merupakan muslim pertama yang melangkah ke dalam rumah tersebut.

“Ia adalah satu penghormatan kepada saya,” kata Senad.

Di Istanbul, dia terkandas selama 20 hari kerana Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Turki (Eropah) ke Anatolia (Asia) yang hendak diseberanginya, hanya dibuka untuk kenderaan. Tiada pilihan lain, dia terpaksa berusaha meminta kebenaran untuk melaluinya dengan berjalan kaki.

Malah ketika melalui Syria yang sedang bergolak, dia terpaksa berdepan dengan maut apabila mengalami sendiri pengalaman peluru bersimpang-siur.

“Saya tidak takut kereta kebal atau peluru, saya hanya takut kepada Allah. Apabila saya sampai di Mekah nanti, saya akan berdoa untuk kedamaian kita semua,” katanya.

Senad akhirnya sampai di Mekah pada 20 Oktober lalu selepas 314 hari meninggalkan kampung halamannya.

“Saya tidak berasa penat, ini adalah hari terbaik di sepanjang hidup saya.

“Pengalaman paling berharga yang saya dapat ialah mempelajari erti berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.

Senad menadah tangan memanjatkan kesyukuran
ketika tiba di kota Mekah

Mungkin inilah pengertian sebenar pengorbanan buat Senad. Demi menunaikan ibadat haji, dia sanggup berkorban keringat, masa, wang, malah nyawa juga. Manisnya pengorbanan itu apabila ia dibalas dengan peluang menjadi tetamu Allah di hadapan Kaabah.

Semoga kisah Senad memberi kita satu keazaman yang kuat dan memahami erti pengorbanan yang sebenar sempena musim haji dan perayaan korban ini. Selamat menyambut Aidiladha!

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: