Himmah : Maksiat Tidak Mungkin Bersatu Dengan Taat

Himmah : Maksiat Tidak Mungkin Bersatu Dengan Taat

Posted by:  Posted date: May 27, 2012 In: Himmah | comment : 12

Tidak mungkin bersama dua jalan yang berbeza.

 

Minyak dan air, kalau dicampurkan dan digaulkan sekali di dalam sebuah bekas, ia tetap tidak akan bercampur. Minyak akan berada di lapisan atas sementara air pula di bawah.

Ia tidak dapat bercampur kerana yang satu lebih tumpat dari satu yang lain.  Ketumpatannya berbeza-beza.

Air yang dicampur dengan minyak, tidak mungkin ada lagi yang ingin meminumnya. Walaupun hakikatnya, sebenarnya lapisan air dan minyak tetap terpisah tidak bercampur, tetapi tetap tidak ada siapa yang mahu minumnya kalau sudah bercampur keduanya.

Maka, begitu jugalah amalan kemaksiatan dan ketaatan kepada Allah.

 

DUA HALA TUJU BERBEZA

Taat kita kepada Allah, ke arah manakah ia akan bawa kita?

Maksiat kepada Allah, ke arah mana pula?

Adakah mungkin kedua-duanya berada di landasan yang sama dan sehala?

Sudah tentulah tidak, bukan? Satunya bawa ke syurga, dan satu lagi bakal menghantar kita ke neraka. Mana mungkin ada persamaan antara keduanya. Bahkan, jauh sekali untuk bertembung.

Kalau satunya sudah ke Timur, dan yang satu lagi ke Barat, mana mungkin berlaku pertembungan.

Maka, begitulah kemaksiatan dan ketaatan kita kepada Allah.

Kedua-duanya adalah urusan yang tidak boleh dicampur adukkan.

 

‘ALAH, BANG. BUKAN SEMUA TAK BAGUS. ADA YANG BAGUS JUGA’

Mengadakan sambutan atau perayaan terhadap sesuatu seperti kejayaan, kemerdekaan atau apa-apa jua adalah bagus. Tidak ada masalah. Namun, bila yang diisi di dalam sambutan itu adalah kemaksiatan, maka itu yang menjadi masalah.

Hendak sambut hari apapun, atau perayaan apa-apa jua, tidak ada masalah. Asalkan yang terisi di dalam sambutan itu adalah yang benar-benar bertepatan dengan kehendak Allah.

Hendak sambut merdeka, tidak ada masalah, asalkan bukan percampuran dan pergaulan lelaki perempuan yang menjadi ‘pengisian’ di dalamnya.

Hendak sambut hari perayaan tidak ada masalah, asalkan jangan melebih-lebih sangat sehingga mengabaikan tuntutan wajib seperti solat fardhu ataupun pergi dedah aurat sana sini.

Apakah yang diisi dalam sambutan atau perayaan itu? Baik atau tidak baik?

Kalau sekalipun sambutan atau perayaan itu baik, tetapi bila pengisiannya tidak baik, maka tidak baik jugalah jadinya.

Kalau sambutan itu sudah memang jelas bertentangan dengan syara’, maka isilah dengan zikir ke, doa ke, apa ke, tetap jadi tidak baik.

“Alah, bang. Bukan semua tak bagus. Kan ada juga yang bagus tu. Ada qiam dan solat berjemaah lagi.”

Sama sahaja. Meskipun dalam sambutan itu ada perkara yang baik seperti kuliah maghrib ke ataupun solat berjemaah ke, tetapi kemudian dihiasi atau dicampur aduk pula dengan perkara tidak baik pula seperti tarian antara lelaki dan perempuan, konsert yang tidak syar’i, persembahan-persembahan yang melampaui batas sehingga membuatkan lelaki dan perempuan tanpa segan silu lagi bercampur dan terkinja-kinja, maka ia tetap tidak baik.

 

‘HABIS TU, TAK BOLEHLAH KALAU NAK BERHIBUR SIKIT-SIKIT PUN?’

Boleh. Siapa kata tak boleh?

Islam tidak pernah halang umatnya untuk berhibur. Bahkan berhibur itu sendiri adalah satu keperluan bagi manusia jika kena pada dos dan masanya.

Boleh saja nak berlakon, mahu nyanyi atau bernasyid, mahu bersajak atau bersyair, atau apa-apa jua jenis hiburan asalkan jangan sampai melanggar batas-batas yang Islam telah tetapkan.

Kalau dalam sebuah persembahan itu, sampai terkinja-kinja dan tergedik-gedik lelaki dan perempuan sehingga tengah malam, duduk pula bercampur aduk dan tidak dipisahkan, dedah aurat sana sini, maka itu sudah lebih dari dosnya dan sudah melampaui batas yang Islam telah tetapkan.

Hendak berhibur, berhiburlah. Tinggal lagi, jagalah batas-batas dan adab-adab yang Islam ajarkan pada kita.

Hiburan ini bukanlah keseluruhan kehidupan, tetapi ia adalah sebagai sebahagian daripada pelengkap kehidupan. Ibarat garam dalam makanan, kalau tidak letak langsung, makan pun tak berapa nak rasa, kalau terlebih banyak, masin pula jadinya. Maka, letakkan pada kadarnya, makanan kita akan jadi sedap.

Pendek kata, hendak berhibur, berhiburlah. Tidak ada masalah. Asalkan jangan melampau sangat. Jadikan hiburan sebagai medan ibadah kita juga, bukan medan dosa.

 

PENUTUP : HENDAK TAAT, TINGGALKAN MAKSIAT

Kalau air yang putih bersih boleh digunakan untuk minum, mandi dan bersuci, tetapi bila dicampur dengan air longkang, siapakah lagi yang mahu menggunakannya untuk minum, mandi ataupun bersuci?

Pastilah tidak ada.

Maka, pisahkanlah antara maksiat dan taat. Tidak mungkin kita hendak melakukan kebaikan, kemudian kita campur adukkannya dengan kejahatan. Hendak ke syurga, tetapi memilih jalan ke neraka, mana mungkin sampai ke syurga.

Positif + Negatif = Negatif

Persamaan yang pernah kita pelajari dalam Matematik ini sangat relevan untuk kita kaitkan dalam hal ini.

Dan apakah pula neraca yang kita gunakan dalam menentukan nilai baik sesuatu perkara?

Ada suatu kaedah syara’ yang berbunyi bermaksud :

“Yang baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syara’, yang buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syara’.”

Itulah neraca kita dalam menentukan baiknya sesuatu perkara. Kita buat sesuatu mengikut apa yang Allah suka, bukan apa yang manusia suka. Kita buat sesuatu mengikut apa yang Allah mahu, bukan apa yang manusia mahu.

Maka, kalau kita hendak ikut apa yang Allah mahu, hendak suka apa yang Allah suka, tunduklah penuh ketaatan kepada Dia dan tinggalkanlah kemaksiatan !

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: